Selamat Datang di Blog IrangWhite's "Hanya sedikit Inspirasi yang tertuang, Semoga berkah"

0 PUASA HARI-HARI HITAM

Puasa hari-hari hitam ialah puasa sunat yang dilakukan pada hari yang ke 28, 29 dan 30 setiap bulan. Dinamakan hari-hari tersebut dengan hari-hari hitam kerana kegelapan malam-malamnya pada
waktu itu disebabkan ketiadaan bulan. Maka dengan berpuasa pada tiga hari tersebut itu sebagai permohonan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya menghilangkan kegelapan pada malam-malam itu. Adalah wajar juga berpuasa pada hari ke 27 di samping berpuasa pada hari-hari ke 28, 29 dan 30 sebagai langkah berhati-hati dan keluar daripada perselisihan pendapat ulama yang mengatakan bahawa hari yang ke 27 itu adalah awal bagi hari yang ke 28. Jika perkiraan bulan hanya 29 hari iaitu tidak genap hingga 30 hari, maka diganti satu hari puasa yang kurang itu pada hari yang pertama bulan yang baru bagi menggenapkan bilangan puasa itu sebanyak tiga hari yang perkiraannya bermula daripada hari yang ke 28.

PUASA DI BULAN-BULAN HARAM
Di antara bulan yang disunatkan berpuasa ialah di bulan-bulan haram. Bulan-bulan haram adalah terdiri daripada bulan Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab. Diriwayatkan daripada Mujibah Al-Bahiliyyah daripada ayahnya atau bapa saudaranya berkata: Maksudnya: "Sesungguhnya dia pernah mengadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian setelah dia pergi selepas setahun, dia menghadap Baginda sedang perihal dan bentuk (badannya) sudah berubah. Lalu dia berkata: "Wahai Rasulullah! Tidakkah engkau mengenaliku?" Baginda bersabda: "Siapa awak?" Dia berkata: "Saya adalah Al-Bahili yang datang mengadap engkau pada tahun lalu" Baginda bersabda: "Apa yang telah membuatmu berubah padahal engkau dahulu mempunyai bentuk (badan) yang bagus?" Dia berkata: "Saya tidak makan makanan kecuali di malam hari sejak berpisah denganmu" Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Kenapa engkau menyiksa dirimu?" Selanjutnya baginda bersabda: "Berpuasalah pada bulan Sabar (Ramadan) dan sehari setiap bulan" Dia berkata: "Tambahkan lagi untukku, sesungguhnya saya masih kuat" Baginda bersabda: "Berpuasalah dua hari (setiap bulan)" Dia berkata: "Tambahkan lagi untukku" Baginda bersabda: "Berpuasalah tiga hari (setiap bulan)" Dia berkata: "Tambahkan lagi untukku" Baginda bersabda: "Berpuasalah pada bulan-bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab) dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah! Sambil baginda bersabda itu baginda memberi isyarat dengan tiga jari, digenggamnya keras kemudian dilepaskannya."
(Hadits riwayat Abu Daud)
Berkata Imam Nawawi: "Sesungguhnya Rasulullah memerintahkan meninggalkan (setelah tiga hari) kerana menjadi kesusahan ke atasnya memperbanyakkan puasa sebagaimana tersebut di awal hadits. Adapun bagi sesiapa yang tidak menjadi kesusahan ke atasnya, maka berpuasa seluruhnya (di bulan-bulan haram) adalah satu fadhilat." (Lihat Kitab Al-Majmu‘ 6/438, I‘anah Ath-Thalibin 2/307).
Dinamakan bulan-bulan ini dengan nama bulan-bulan haram kerana dahulu orang-orang Arab menghormati dan mengagungkannya serta mengharamkan di dalam bulan-bulan tersebut pembunuhan sehinggakan jika salah seorang daripada mereka bertemu orang yang telah membunuh bapanya atau anaknya atau saudaranya di bulan-bulan ini, orang yang membunuh itu tidak akan diganggu.
Adapun bulan yang terlebih afdhal untuk mengerjakan puasa di antara bulan-bulan haram itu ialah bulan Muharram. Ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu‘anhu berkata: Maksudnya: Puasa yang afdhal sekali selepas puasa di bulan Ramadan ialah (puasa) di bulan Allah iaitu bulan Muharram, dan sembahyang yang afdhal sekali selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat malam."
(Hadits riwayat Muslim)
Adapun jawaban yang disebutkan oleh para ulama, kenapa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih banyak melakukan puasa-puasa sunat di bulan Sya‘ban daripada bulan Muharram sedangkan bulan Muharram adalah bulan yang lebih afdhal untuk mengerjakan puasa selepas bulan Ramadan sebagaimana yang tersebut di dalam hadits, ialah:
1. Kemungkinan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengetahui kelebihan bulan Muharram itu ketika di akhir hayat baginda dan tidak sempat mengerjakannya.
2. Kemungkinan kebetulan pada waktu itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mendapat keuzuran daripada musafir atau sakit atau sebagainya yang menghalang baginda daripada memperbanyakkan puasa di bulan Muharram itu.

(Lihat Kitab Al-Majmu‘ 6/439 dan Syarh Shahih Muslim4/295)
 

irangwhite's Copyright © 2013